Kritikan terhadap pengurusan pascabanjir Kritikan terhadap respons kerajaan terhadap banjir Malaysia 2021–2022

Pelbagai kritikan telah diberikan terhadap kerajaan berkenaan pengurusan pascabanjir yang dilihat sambalewa dan lewat. Beberapa laporan daripada para mangsa meluahkan kekecewaan bahawa pihak berkuasa gagal memberikan bantuan yang sepantutnya, dan terpaksa berharap kepada warga asing serta pihak sukarelawan.[6] Satu tulisan di Sinar Harian berpendapat bahawa koordinasi bantuan kemanusiaan sesama rakyat menerusi media sosial adalah jauh lebih baik berbanding pengurusan oleh kerajaan.[7] Seorang presiden kumpulan pemuliharaan, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, menghujah bahawa kelewatan pemberian bantuan pascabanjir berlaku akibat isu birokrasi yang tidak baik.[8]

Perdana Menteri

Dalam satu kenyataan, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib menyelar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atas kelewatan bantuan banjir terhadap rakyat Selangor, malah mendakwa bahawa kelewatan itu adalah berniat jahat sehingga menyeru mangsa-mangsa banjir agar menyaman Ismail atas isu tersebut.[9] Kenyataan ini kemudiannya dibantah sekutu Ismail, Shahril Sufian Hamdan yang berkata bahawa Ismail telah bekerjasama di sebalik tabir dalam pengurusan bencana banjir.[10] Sementara itu, Ismail mengaku bahawa memang ada beberapa "kelemahan" yang ada dalam pengurusan pascabanjir pemerintahannya.[11]

Agensi Pengurusan Bencana Negara

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diselar pelbagai pihak kerana dilihat mendiamkan diri dalam pengurusan pascabanjir serta mengetepikan amaran-amaran banjir.[12] Selain itu, NADMA dikritik kerana dikatakan gagal mengarahkan pihak tentera bagi tujuan bantuan pascabanjir sehingga pihak tentera bertindak mula mengerahkan bantuan secara sendiri.[13] Untuk menjawab kritikan tersebut, pihak NADMA menafikan bahawa mereka telah menghalang pihak tentera daripada membantu mangsa banjir atau ada selisih faham antara mereka dengan pihak tentera.[14]

Dewan Rakyat

Pada 20 Disember, tindakan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang menghalang permohonan ahli-ahli parlimen pembangkang untuk berbincang tentang banjir mendapat kritikan orang ramai.[15] Tindakannya dibantah kedua-dua pihak pemerintah serta pembangkang dengan sesetengah pihak menyeru agar Azhar diletak jawatan.[16][15] Dalam hal ini, Azhar menyatakan bahawa tindakan itu dilakukan berlandaskan protokol Dewan Rakyat, di mana para ahli dewan perlu mengusulkan seruan untuk membincangkan suatu perkara kepadanya sekurang-kurangnya sehari sebelum usul dibincangkan.[17]

Pertelingkahan Amirudin Shari-Noh Omar

Di peringkat kerajaan negeri Selangor, satu kontroversi terbit berkenaan jawatan pengerusi MKN peringkat negeri antara Menteri Besar Amirudin Shari dan Noh bin Omar. Isu ini berlaku susulan berlaku persoalan tentang siapa yang memegang jawatan itu ketika kritikan diutarakan terhadap MKN atas masalah-masalah pengurusan pascabanjir. Pada November, Amirudin telah menyerahkan jawatannya sebagai pengerusi MKN Selangor kepada Noh Omar. Akan tetapi, susulan bencana banjir, jawatan itu dikembalikan kepada Amirudin bermula 25 Disember.[18] Walau bagaimanapun, isu ini dikritik pelbagai pihak kerana dilihat tidak penting.[19]

Rujukan

WikiPedia: Kritikan terhadap respons kerajaan terhadap banjir Malaysia 2021–2022 https://www.bloomberg.com/news/articles/2021-12-24... https://www.channelnewsasia.com/asia/malaysia-sela... https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/... https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/... https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/... https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/... https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/... https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/12/22... https://www.malaysiakini.com/news/603730 https://www.malaysiakini.com/news/604159